Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.......~





Salam sejahtera buat pembaca budiman,
Ramadhan Al Mubarak (yang diberkati) semakin menghampiri kita, hampir saja kita terleka akan tuntutan puasa yang terkandung di dalamnya, mujur saja kita diingatkan dengan hadirnya bulan Sya’aban itupun segelintir kita sahaja. Moga kita sentiasa beringat.
Amat berbeza sekali antara kita dan junjungan Nabi tercinta kita dalam soal ini, kedatangan Ramadhan Al Mubarak amat dirasai baginda saat menjelmanya Rejab, antara doa yang meniti di bibir baginda ketika memasuki Rejab;
Ya, Allah! Curahkan keberkatan ke atas kami di bulan Rejab dan Sya’aban dan berilah kesempatan kepada kami untuk bertemu Ramadhan.
Tentunya yang terlintas dibenak fikiran baginda adalah keistimewaan bulan tersebut, kelainannya dari bulan-bulan Allah yang lain, sejarah agung penurunan Al-quran dan bermacam-macam lagi yang semua itu sudah tentu berada di dalam pengetahuanNya…Persoalannya, Adakah kedatangan Ramadhan dirasai kita umpama apa yang dirasai baginda? Apa kepentingan baginda terhadap Ramadhan? Dan apa pula kepentingan Ramadhan untuk kita?
Barangkali jawapan kita terhadap soalan pertama, adalah bahawa tiada apa-apa nilai buat baginda terhadap Ramadhan dan syariat yang terkandung di dalamnya, oleh kerana Nabi Muhammad S.A.W seorang nabi yang ma’sum tiada terlibat dan terjebak dengan mana-mana dosapun hatta yang paling kecil. Barangkali inilah jawapan yang ada pada kita.
Kalau kita lihat lebih jauh lagi kita juga mendapati bahawa kelakuan nabi di dalam bulan mulia ini juga berbeza dari bulan lain, nabi manusia yang paling banyak melakukan apa jenis ibadah dan kebaikan lebih dari apa yang di buat pada bulan-bulan lain. Kenapa nabi buat begitu, bukankah sudah cukup bagi baginda dengan gelaran Ma’sum?
Saudara pembaca yang beriman,
Inilah sikap baginda terhadap Allah Tuhan yang berhak disembah bukan kerana baginda Ma’sum, tetapi kerana Allah tuhan yang berhak disembah oleh sesiapapun dari kalangan makhluqNya dan dimanapun mereka berada dan pada bila-bila masapun baik yang mempunyai darjat disisNya apatah lagi manusia biasa umpama kita yang mungkin lebih tinggi darjatnya dari makhluq lain tetapi amat terkebawah kedudukan di sisi Allah. Inilah Maqam Ubudiyyah yang sebenar yang ditunjukan Nabi kita tercinta ketika menghadpi salah satu rukun agama yang lima iaitu puasa bulan Ramadhan. Begitulah juga dengan hukum-hakam Allah yang lain yang perlu diusahakan dengan lebih gigih dan tekun oleh kita dengan dimulai pada bulan Ramadhan dan berterusan kepada bulan-bulan yang lain.
Perbuatan nabi itu adalah contoh teladan yang baik bahkan merupakan panduan yang berguna dan amat berkesan untuk kita kearah menjadikan diri kita “insan kamil fi ubudiyyati lillah” iaitu manusia yang sempurna pengabdiannya terhadap Allah. Bukan sekadar pengabdian kita dengan ibadah tertentu bahkan kesemua syariat Allah yang telah diputuskan Allah di dalam Al quran secara qat’ei dan bersifat abadi.
Kearah insan kamil fil ‘ubudiyyah lillah
Kalau kita lihat sikap nabi yang ditunjukan kepada kita dapatlah kita mengambil isyarat pantas bahawa sebagai seorang hamba tidak akan sempurna perhambaanya terhadap khaliqnya dengan hanya berpeluk tubuh, diam seribu bahasa dan menunggu saat perubahan ke arah kesempurnaan tersebut tanpa kita melakukan anjakan paradigma mengatur agenda bertindak mencapai maslahat duniawi dan ukhrawi. Mengatur agenda, bertindak (beramal) adalah merupakan sunnatullah yang diwajibkan ke atas kita melalui qanun sababiyyah (undang-undang mengambil sebab untuk memperoleh sesuatu) yang disebut Allah melalui banyak ayat-ayatNya; antaranya firman Allah:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga merekalah yang pantas melakukan perubahan tersebut..” (Al Ra’du;11)
Jesteru, kita tidak menunggu Allah, Allah lah yang menunggu usaha kita untuk mengubah nasib dan keadaan kita, firman Allah;
“ Sesungguhnya Allah tidak akan memperbaiki amalan orang-orang yang melakukan kerosakan..” (Surah Yunus ;81)
Kata Syekh Mohd Al Ghazali: kita mestilah merujuk kembali kepada amalan kita yang serba kekurangan dengan menghayati mafhum ayat ini. Bukanlah Allah yang akan menyempurnakan dan memperbaiki amalan kita melainkan dengan usaha dan pengorbanan kita sendiri.
Marilah kita menjadikan Ramadhan yang bakal tiba sebagai permulaan mencari kesempurnaan ubudiyyah lillah.
Mudah-mudahan Ramadhan kali ini dapat disambut dengan semangat amal islami menuju syurga ilahi, dengan ucapan ikhlas menyambut kedatangan itu;
AHLAN WASAHLAN YA RAMADHAN!!


p/s : Kalau di negara arab,mereka di sana sering menyebut "Ramadhan Karim" dan disambut oleh orang yang mendengarnya dengan jawapan "Allahu Akram"