Majlis Malam BBQ dan Bakar SATE




TARIKH : 17.00 APRIL 2010 dan 1 MEI 2010
MASA : 8.00 MLM- 11.00 MLM
TEMPAT : ASRAMA TAHFIZ BANIN


Pihak menengah tahfiz MANHAL HPA telah mengadakan majlis malam BBQ antara pelajar-pelajar dan barisan guru-guru. Ia bertujuan untuk merapatkan lagi ukhuwwah antara guru-guru dengan pelajar. Dalam kesibukan mencurah bakti dan menuntut ilmu, warga MANHAL HPA mencari masa dan waktu yang sesuai bagi berkumpul bersama-bersama dengan pelajar-pelajar untuk sama-sama berkumpul dan menghilangkan segala kepenatan dan keletihan yang ada pada hujung minggu.Majlis ini diadakan berikutan semua staf MANHAL HPA Simpang Ampat mendapat insentif bulanan ayam organik sebanyak 14 ekor setiap seorang dari pihak HQ HPA.

Persiapan malam BBQ bermula sejak hari jumaat lagi, di mana Ustaz Dinie dan Ustaz Hafiz mula memotong ayam, manakala pihak ustazah-ustazah menyiapkan segala bahan dan rempah-rempah untuk memerap ayam. Pada keesokan harinya selepas asar, para pelajar tahfiz banin dan barisan guru-guru mula membakar ayam. Keletah dan gelagat pelajar-pelajar mencuit hati kami semua. Kegembiraan dan keriangan jelas tergambar di wajah mereka. Para pelajar bertungkus lumus membahagikan kerja untuk sama-sama membantu guru-guru bagi melancarkan lagi majlis malam BBQ itu.

Selepas maghrib, kehadiran tetamu-tetamu jemputan telah memenuhi ruangan asrama pelajar tahfiz banin dan rumah kakitangan MANHAL HPA. Pelajar-pelajar tahfiz banat sibuk menyediakan juadah makanan bagi para tetamu. Ayam panggang bersama kuah kacang amat membuka selera tetamu yang hadir, disertakan lagi dengan buah tembikai yang cukup manis, dan air jambu Guava HPA yang dapat melegakan kehausan dan menambah tenaga.

Tidak cukup dengan majlis malam BBQ itu, pada 1 Mei 2010, sekali lagi pihak Maahad Tahfiz Al-Ihsaniah mengadakan malam membakar sate, sebanyak 14 ekor ayam yang dipotong-potong oleh ustaz-ustaz dan semua pelajar banin, manakala pihak banat membantu membuat sate untuk dibakar.

Diharapkan majlis sebegini dapat memupuk semangat bantu-membantu antara guru-guru dan para pelajar, mereka bukan sahaja dapat mendalami ilmu-ilmu agama dan menhafaz al-qur'an , tetapi juga ilmu-ilmu kemahiran patut dititik beratkan bagi melatih mereka semua mampu menguruskan menguruskannya.



laporan disediakan oleh:
Nurulaini Binti Jaffar

HARI PENDIDIK AL-IHSANIAH 2010



Tarikh : 18 Mei 2010
Hari : Selasa
Masa : 9.00 pagi hingga 1.00 tgh
Tempat : Dewan Besar Ibnu Mukhaisin, Maahad Al-Ihsaniah




Tepat jam 9.00 pagi barisan pensyarah-pensyarah memasuki dewan dengan disambut oleh semua mahasiswa qiraat dan pelajar menengah tahfiz. Acara yang julung-julung kali diadakan di Maahad Al-Ihsaniah MANHAL  sempena menyambut hari pendidik bagi mengenang jasa dan bakti pensyarah-pensyarah yang tidak mengenal erti jemu dalam mendidik anak-anak untuk mengenal ilmu Allah SWT. Majlis dimulai dengan alunan nasyid Asma'ul Husna, Negaraku dan lagu tema hari guru. Majlis diteruskan dengan ucapan pengarah program, wakil pelajar dan pengetua MANHAL , Ayahanda tercinta Ustaz Jamaluddin Bin Ali.






Acara diserikan lagi dengan persembahan nasyid dari pelajar-pelajar banin dan banat menengah tahfiz yang cukup menyentuh jiwa. Tidak ketinggalan juga seloka yang berjaya mencuit dan menghangatkan dewan yang direka oleh pelajar menengah tahfiz khas buat pensyarah-pensyarah. Selain itu, majlis juga diisi dengan santapan rohani iaitu ceramah motivasi yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muslim,ia bertujuan untuk menaikkan lagi semangat mahasiswa dan pelajar-pelajar dalam menuntut ilmu Allah SWT serta menyedarkan para pelajar akan peri pentingnya penekanan aspek adab dalam menuntut ilmu Allah SWT.






Warga MANHAL  juga turut membuat kejutan khas untuk ayahanda tercinta, dengan persembahan sajak yang direka khas untuk beliau, dan majlis memotong kek yang dibuat khas untuk beliau bagi mengenang jasa beliau yang banyak dicurahkan untuk pembangunan dan pendidikan MANHAL .Untuk pengetahuan,beliau berada di Putrajayapada hari isnin untuk menyelesaikan urusan pentadbiran, beliau bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 12 tengah malam
dan tiba tepat jam 7.00 pagi hari selasa semata-mata untuk turut sama-sama meraikan Hari Pendidik Al-Ihsaniah yang dijadualkan bermula pada jam 8.30 pagi. Kegembiraan dan senyuman yang terukir diwajah beliau cukup membuatkan semua warga MANHAL  terharu dan puas.


Kemuncak majlis ini diisi dengan acara pertukaran hadiah antara pensyarah-pensyarah, dan juga dari mahasiswa qiraat dan pelajar menengah tahfiz buat para pensyarah. Kemeriahan sambutan majlis ini membuatkan semua yang hadir berasa sungguh gembira.
Hidangan juadah makanan tengahari yang istimewa pada hari itu mengakhiri majlis sambuatan Hari Pendidik Al-Ihsaniah. Menu Nasi Tomato berlaukkan ayam masak merah dan kerabu mangga sangat membuka selera, disertakan lagi dengan pelbagai juadah kuih-muih yang dibuat oleh Ustazah Salmah menambah selera para tetamu yang hadir.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pengarah Manhal HPA, barisan pensyarah-pensyarah, mahasiswa-mahasiswi Qiraat, pelajar-pelajar menengah tahfiz dan semua yang terlibat dalam menjayakan majlis sambutan Hari Pendidik Al-Ihsania 2010 . Segalas jasa dan pengorbanan kalian hanya Allah yang mampu membalasnya. Amin..
Laporan disediakan oleh :
Nurulaini Binti Jaffar
Timb. Pengarah Program Hari Pendidik Al-Ihsaniah

Selamat Hari Pendidik Al-Ihsaniah Kepada Guru-guru MANHAL



Buat semua guru-guru MANHAL  khususnya guru-guru di Simpang Ampat,diucapkan SELAMAT HARI PENDIDIK AL-IHSANIAH

Seloka Hari Guru MANHAL

Assalamualaikum kami ucapkan,
kepada semua rakan dan taulan,
andai terasa harap maafkan,
seloka ini hanyalah sebagai santapan.

Loghat Utara kami gunakan,
kalau tak paham harap maafkan,
andai terasa jangan disimpan,
buat-buat masuk telinga kanan keluaq telinga kiri.

Berbudi bahasa berakhlak orangnya,
Maahad tahfiz ni boleh kata dia yang punya,
Cita-cita di hati nak tengok pelajar berjaya,
inilah Headmaster kami Ustaz Jamaluddin namanya.

Orangnya segak lagi bergaya,
mai sekolah tak tau naik apa,
bila ditanya selambe jawabnya,
Ustaz Marzuqi mai sekolah naik van rupanya.

Sekali tengok macam Shah Rukh Khan,
dua kali tengok macam pelakon hindustan,
sapa tak cakap arab sahih kena rotan,
Ustaz Fakhruddin gayanya spontan.

Bacaan Al-Quran tak lekang dari mulutnya ,
seorang bapa penyayang kepada 3 orang anaknya,
setiap hari mai ke sekolah dengan kereta Honda nya,
Ustaz Naeem tersenyum manis mukanya.

Sekali tengok mesti nak tengok lagi,
jangan diganggu takut lekat lima jari,
bahaya sungguh la anak dara lawa macam ni,
gelagat Ustazah Marshera buat kami geli hati.

Mai sekolah naik kereta sendiri,
Corolla Altis menjadi pilihan hati,
dia kata ni kereta model terkini,
Ustaz Hafiz memang citarasa tinggi.

Jangan dipandang buta nanti,
boleh kata paling hensem dalam sekolah ini,
sifat sabarnya patut dicontohi ,
Ustaz Dinie jangan la kembang bila kena puji.

Bab matematik dan sains paling digemari,
jangan tidoq takut kena rotan nanti,
Ustazah Salmah dah kahwin masih cantik lagi.

Ustazah Bahasa Inggeris pnggilan diberi,
seorang yang lemah lembut siap sopan lagi,
tapi jangan selalu sangat puji,
takut merah pipi ustazah faezah yang comel tu nanti.

Seorang yang tegas dan bersikap matang,
memang calon ibu yang sangat penyayang,
jangan mengada-ngada nanti kena rotan kang,
Ustazah Aini ibu yang kami sayang.

Berakhirlah sudah seloka kami,
maaflah sebab tak dak hadiah nak bagi,
doakan kami berjaya nanti,
ucapan salam kami akhiri.

Nukilan Nur Fatin Fadzliana Binti Salleh
Dibaca oleh Nuralea Binti Zaharullail & Syazmin

Ikhlas dari kami,pelajar-pelajar Maahad Al-Ihsaniah Lil Tahfiz Wal Qiraat.

Aktiviti Rehlah Ke Batu Feringgi Oleh Pelajar-pelajar Tahfiz dan Guru-guru



25 April 2010 - Pihak pentadbiran Maahad Al-Ihsaniah MANHAL HPA telah mengadakan satu aktiviti rehlah ke Batu Feringgi bersama para pelajar dan guru-guru.Aktiviti ini telah diadakan setelah pelajar-pelajar tamat menduduki Ujian Penilaian Akademik 1 pada 22 April 2010.

Sehubungan itu, pelbagai persediaan rapi telah dilakukan oleh pihak pentadbiran MANHAL HPA bagi menjamin kelancaran program seperti yang dirancang.Seawal jam 10 pagi, para pelajar seramai 32 orang dengan diiringi empat orang guru telah bertolak ke destinasi menaiki dua buah van dan sebuah kereta.Sepanjang perjalanan,kami telah melalui Jambatan Pulau Pinang dan menyusuri jalan-jalan yang penuh dengan kenderaan.

Tepat jam 12 tengahari,semua peserta Program rehlah telah sampai ke tempat yang dituju.Para pelajar diberikan sedikit taklimat keselamatan oleh Ust Hafiz Bin Zabidin agar tidak berlaku sebarang masalah sepanjang program berlangsung.Pelajar-pelajar kemudiannya dibenarkan untuk bermandi-manda dengan pengawasan guru-guru pengiring.Pelbagai acara yang menarik telah diadakan seperti mencipta binaan pasir,bermain bola tampar pantai dan lain-lain lagi.Setelah penat bermain,pelajar-pelajar diminta berehat untuk makan,mereka telah disajikan makanan yang telah disediakan oleh Unit Kantin Sekolah.Mereka kemudiannya dibenarkan untuk mandi sebelum bertolak ke destinasi seterusnya.

Ketika jam menghampiri 2.30 petang,kami bersiap-siap untuk ke Air Terjun Titi Kerawang yang tidak jauh lokasinya dari Batu Feringgi.Para pelajar diberikan masa selama setengah jam untuk membersihkan diri setelah puas bermandi-manda di pantai.Kegembiraan jelas terpampang dari riak wajah para pelajar sepanjang mereka berda di air terjun tersebut.Air bukit yang sejuk dan panorama hijau di sekeliling menambahkan lagi ketenangan di hati para peserta program.

Kegembiraan yang terpancar tidak akan memberi makna andai hati jauh dari mengingati Allah,para pelajar dan guru-guru pengiring seterusnya bertolak ke Masjid Balik Pulau untuk menunaikan solat Zohor berjamaah.Kesyukuran dipanjatkan kepada ilahi kerana masih diberi tempoh dan waktu untuk bergembira .

Destinasi mereka tidak berakhir di situ,para peserta program meneruskan lagi perjalanan melalui jalan-jalan yang dikelilingi hutan tropika itu.mereka akhirnya sampai ke Kawasan Rekreasi yang berada di puncak bukit.Hati yang terpana hanya mampu mengucapkan tasbih dan tahmid kepada Allah apabila melihat keindahan pemandangan lanskap muka bumi di sana.Jelas terlihat dataran tanah yang ditumbuhi tumbuhan hijau hingga menghala ke arah laut.Semua pelajar diminta bertadabbur dan berfikir sejenak akan kehebatan Sang Pencipta Allah Khalik Al-Makhluk.

Program akhirnya sampai ke penghujung.Setelah selesai bergambar, para pelajar pun bertolak pulang meninggalkan kawasan tersebut.Dalam perjalanan pulang,mereka telah menaiki Feri Pulau Pinang yang akan ke Butterworth.Gambar-gambar sempat dirakamkan ketika mereka berada di atas feri tersebut.

Program rehlah ini berakhir pada jam 6 petang setelah semua pelajar dan guru-guru pengiring selamat sampai ke MANHAL HPA Simpang Ampat.Para pelajar kemudiannya menunaikan solah Asar berjamaah sebelum dibenarkan berehat.

Diharapkan program seperti ini dapat memberikan motivasi dalam diri para pelajar agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah juga dapat membentuk syaksiah pelajar yang berperwatakan muslimin sejati.Pihak pentadbiran berjanji akan terus menjalankan aktiviti kokurikulum kepada para pelajar supaya masa yang terluang tidak disiakan begitu sahaja.

Laporan disediakan oleh : Fatin Fadzliayana Binti Salleh
Pelajar Tingkatan 4 MANHAL HPA