Aktiviti Rehlah Ke Batu Feringgi Oleh Pelajar-pelajar Tahfiz dan Guru-guru



25 April 2010 - Pihak pentadbiran Maahad Al-Ihsaniah MANHAL HPA telah mengadakan satu aktiviti rehlah ke Batu Feringgi bersama para pelajar dan guru-guru.Aktiviti ini telah diadakan setelah pelajar-pelajar tamat menduduki Ujian Penilaian Akademik 1 pada 22 April 2010.

Sehubungan itu, pelbagai persediaan rapi telah dilakukan oleh pihak pentadbiran MANHAL HPA bagi menjamin kelancaran program seperti yang dirancang.Seawal jam 10 pagi, para pelajar seramai 32 orang dengan diiringi empat orang guru telah bertolak ke destinasi menaiki dua buah van dan sebuah kereta.Sepanjang perjalanan,kami telah melalui Jambatan Pulau Pinang dan menyusuri jalan-jalan yang penuh dengan kenderaan.

Tepat jam 12 tengahari,semua peserta Program rehlah telah sampai ke tempat yang dituju.Para pelajar diberikan sedikit taklimat keselamatan oleh Ust Hafiz Bin Zabidin agar tidak berlaku sebarang masalah sepanjang program berlangsung.Pelajar-pelajar kemudiannya dibenarkan untuk bermandi-manda dengan pengawasan guru-guru pengiring.Pelbagai acara yang menarik telah diadakan seperti mencipta binaan pasir,bermain bola tampar pantai dan lain-lain lagi.Setelah penat bermain,pelajar-pelajar diminta berehat untuk makan,mereka telah disajikan makanan yang telah disediakan oleh Unit Kantin Sekolah.Mereka kemudiannya dibenarkan untuk mandi sebelum bertolak ke destinasi seterusnya.

Ketika jam menghampiri 2.30 petang,kami bersiap-siap untuk ke Air Terjun Titi Kerawang yang tidak jauh lokasinya dari Batu Feringgi.Para pelajar diberikan masa selama setengah jam untuk membersihkan diri setelah puas bermandi-manda di pantai.Kegembiraan jelas terpampang dari riak wajah para pelajar sepanjang mereka berda di air terjun tersebut.Air bukit yang sejuk dan panorama hijau di sekeliling menambahkan lagi ketenangan di hati para peserta program.

Kegembiraan yang terpancar tidak akan memberi makna andai hati jauh dari mengingati Allah,para pelajar dan guru-guru pengiring seterusnya bertolak ke Masjid Balik Pulau untuk menunaikan solat Zohor berjamaah.Kesyukuran dipanjatkan kepada ilahi kerana masih diberi tempoh dan waktu untuk bergembira .

Destinasi mereka tidak berakhir di situ,para peserta program meneruskan lagi perjalanan melalui jalan-jalan yang dikelilingi hutan tropika itu.mereka akhirnya sampai ke Kawasan Rekreasi yang berada di puncak bukit.Hati yang terpana hanya mampu mengucapkan tasbih dan tahmid kepada Allah apabila melihat keindahan pemandangan lanskap muka bumi di sana.Jelas terlihat dataran tanah yang ditumbuhi tumbuhan hijau hingga menghala ke arah laut.Semua pelajar diminta bertadabbur dan berfikir sejenak akan kehebatan Sang Pencipta Allah Khalik Al-Makhluk.

Program akhirnya sampai ke penghujung.Setelah selesai bergambar, para pelajar pun bertolak pulang meninggalkan kawasan tersebut.Dalam perjalanan pulang,mereka telah menaiki Feri Pulau Pinang yang akan ke Butterworth.Gambar-gambar sempat dirakamkan ketika mereka berada di atas feri tersebut.

Program rehlah ini berakhir pada jam 6 petang setelah semua pelajar dan guru-guru pengiring selamat sampai ke MANHAL HPA Simpang Ampat.Para pelajar kemudiannya menunaikan solah Asar berjamaah sebelum dibenarkan berehat.

Diharapkan program seperti ini dapat memberikan motivasi dalam diri para pelajar agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang telah diberikan oleh Allah juga dapat membentuk syaksiah pelajar yang berperwatakan muslimin sejati.Pihak pentadbiran berjanji akan terus menjalankan aktiviti kokurikulum kepada para pelajar supaya masa yang terluang tidak disiakan begitu sahaja.

Laporan disediakan oleh : Fatin Fadzliayana Binti Salleh
Pelajar Tingkatan 4 MANHAL HPA